Kerja jadi ibadah jika mendapat kepuasan
Daripada Imran, katanya saya bertanya: “Ya Rasulullah, apa dasar kerja orang yang bekerja? Baginda menjawab: Setiap orang dimudahkan mengerjakan apa yang dia telah diciptakan untuk itu.” (Riwayat al-Bukhari)Manusia adalah makhluk yang bekerja. Bahkan manusia tidak akan mendapatkan suatu apa pun kecuali apa yang diusahakannya sendiri. Oleh itu tidak menghairankan jika kita sering mendengar masuk syurga atau neraka itu sangat ditentukan oleh amal perbuatan seseorang di dunia.
Kerja, amal berkait
Orang yang beriman dan bekerja dengan baik, Allah SWT akan memberinya kehidupan yang baik. Sesungguhnya kerja dengan amal mempunyai terjemahan sama dalam Islam meskipun masyarakat mengenalinya dari sudut yang berbeza.
Amal sering diberi makna pada tindakan atau kerja kebajikan sedangkan kerja dikategorikan pada tindakan manusia yang menghasilkan upah dalam bentuk wang mahupun material bersifat ekonomi untuk menjaga kelangsungan hidup serta orang di bawah tanggungjawabnya.
Dalam Islam, dasar kerja atau amal adalah niat yang akan membezakan sama ada sesuatu tindakan itu berupa kebajikan atau tidak.
Allah menegaskan, menjadi satu kewajipan kepada kita untuk melakukan yang terbaik dalam memikul amanah dan tanggungjawab kerana Allah tidak akan memberatkan seseorang dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukannya.
Oleh itu, seseorang itu dikurniakan Allah kelebihan yang tersendiri dan dia akan dimudahkan mengerjakan apa yang dia telah mahir (tahu) mengenainya.
Tiga balasan jadikan kerja ibadah
Terdapat tiga balasan bagi mereka yang kerjanya menjadi ibadah iaitu mendapat balasan dalam bentuk material (gaji), balasan dalam bentuk kepuasan kerana dapat menyiapkan kerjanya dan mendapat pahala untuk bekalan di hari akhirat.
Dalam konteks hubungan majikan-pekerja pula, Islam melihat perlu ada keadilan antara majikan dan pekerja di mana gaji yang diberi hendaklah setimpal dengan kerja serta tanggungjawab dipikul oleh pekerja.
Rasulullah SAW bersabda: “Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) orang yang menjadi tanggungjawabnya.”
0 comments:
Post a Comment