Rahsia Puyuh Golek Kak Mah
Dilihat secara luaran, perniagaan gerai tepi jalan diusahakan pasangan suami isteri, Mamat Zain, 58, dan Rahimah Ramlan, 51, tidak banyak bezanya dengan penjaja lain di kawasan Machap-Simpang Renggam, Johor.Namun, di sebalik kegigihan pasangan itu tersaji hidangan istimewa yang mampu membangkitkan selera sesiapa saja untuk mencuba menu rahsia dikenali ‘Puyuh Golek Kak Mah’.
Kedudukannya berhadapan Sekolah Kebangsaan Seri Machap, Kampung Seri Machap, Simpang Renggam itu, menjadikan lokasi gerai jualan burung puyuh golek berkenaan sentiasa dihampiri peminat setianya.
Puyuh Golek Kak Mah sangat istimewa kerana diperap menggunakan rempah asli yang digabungkan antara cita rasa tempatan dan Thailand, selain ia dijual pada harga berpatutan RM4 seekor.
Bagi melengkapkan rasa burung puyuh golek itu, Rahimah turut membekalkan sos pedas manis ciptaannya dengan menggunakan beberapa bahan penting seperti sos tiram, cili padi dan cuka.
Rahimah berkata, dia bersama suaminya memulakan perniagaan puyuh golek semenjak setahun lalu selepas melihat potensi pasaran haiwan berkenaan yang mudah diperoleh daripada penternak di sekitar Machap.
“Sebelum ini, saya dan suami mengusahakan ayam golek. Modal yang besar untuk mengusahakan perniagaan itu menyebabkan kami mencari idea baru untuk memperkenalkan puyuh golek.
“Nampaknya hidangan yang dijual pada Ramadan tahun lalu diterima pengguna sebelum kami berdua mengambil peluang untuk menjaja puyuh golek setiap hari di tepi Jalan Machap-Simpang Renggam,” katanya.
Menurutnya, pasaran puyuh golek mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat dan setiap hari sekurang-kurangnya 40 ekor puyuh golek terjual.
“Operasi perniagaan bermula dari jam 9 pagi dan ditutup pada jam 7 malam, namun ada kalanya terpaksa ditutup lebih awal kerana sudah kehabisan stok puyuh.
“Lagipun mereka yang berniaga puyuh golek masih kurang, berbanding ayam golek yang diusahakan banyak pihak ketika ini,” katanya.
Berkongsi rahsia perniagaan katanya, burung puyuh golek diusahakan bersama suami dapat menambahkan pendapatan keluarganya.
“Rasa puyuh golek ini sangat berbeza dengan ayam golek yang terdapat di pasaran. Tekstur dagingnya yang lembut menyebabkan hidangan berkenaan sesuai disajikan untuk hidangan seisi keluarga.
“Ramuan rempah puyuh golek ini diperoleh dari Thailand, manakala kuahnya pula hasil ciptaan sendiri tanpa menggunakan tomato,” katanya.
Sumber: Hmetro.Com
0 comments:
Post a Comment