Sukan Terjun Cenuram
Seorang penerjun melakukan terjunan sambil disaksikan kira-kira 12,000 penonton di Kragero, Norway pada Julai 2010. - AGENSI |
Namun uniknya, sukan terjun cenuram ini yang hanya disertai penerjun lelaki, mempamerkan keberanian para peserta melakukan terjunan dari ketinggian antara 26 meter hingga 28 meter ke dalam air dengan purata kelajuan 85 kilometer sejam.
Memasuki tahun keempat sejak dimulakan pada 2009, sukan terjun cenuram semakin mendapat liputan meluas dan mempunyai peminat tersendiri apabila diiktiraf sebagai sukan ekstrem bertaraf dunia.
Dikenali sebagai Kejohanan Siri Dunia Sukan Terjun Cenuram Red Bull, penganjuran acara ini hanya diadakan di lapan negara sahaja setiap tahun.
Tahun ini Perancis, Denmark, Portugal, Itali, Amerika Syarikat (AS), Britain, Brazil dan Thailand dipilih sebagai lokasi penganjuran.
Berbeza dengan sukan terjun papan anjal yang diadakan di dalam kawasan tertutup dan kolam khas, sukan terjun ini memerlukan kawasan cenuram yang menarik dan sesuai untuk pertandingan itu dijalankan.
Selain itu, teknik mendarat di dalam air juga berbeza kerana sukan terjun cenuram menetapkan syarat agar penerjun perlu mendarat menggunakan kaki terlebih dahulu.
Bagi penonton yang pertama kali menyaksikan sukan ini, mereka pastinya terpukau dan berasa cemas setiap kali peserta melakukan terjunan dari kedudukan tinggi apatah lagi melihat kesan hempasan yang kuat di muka air.
Bagi mengelakkan sebarang kecelakaan, ciri-ciri keselamatan paling penting dalam sukan tersebut. Sebab itu sekumpulan penyelam khas dilengkapi bot penyelamat diperlukan setiap kali acara berlangsung.
Setiap kali penerjun mendarat di air, pasukan khas itu akan merapati peserta untuk memastikan mereka benar-benar selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat impak terjun ke dalam air dengan kelajuan tinggi.
Untuk format pertandingan pula, peserta perlu melakukan empat kategori terjunan yang melibatkan sembilan teknik iaitu depan, belakang, terbalik, melengkung, pusingan ke depan, pusingan ke belakang, balik kuang, pusingan melengkung dan menahan menggunakan tangan sebelum terjun.
Kejohanan ini hanya melibatkan 10 penerjun tetap yang dipilih melalui ujian saringan oleh pihak penganjur dan jumlah itu termasuk lima penerjun yang berada di kedudukan teratas carta pada musim sebelumnya.
Jumlah tersebut tidak termasuk empat penerjun yang mendapat wild-card di setiap siri jelajah di lapan lokasi yang ditetapkan.
Juara Kejohanan Siri Dunia Sukan Terjun Cenuram Red Bull hanya akan diumumkan berdasarkan jumlah kutipan mata penerjun sepanjang musim.
Lima penerjun yang mendapat mata tertinggi, layak secara automatik memasuki ujian kelayakan pada musim baharu.
Setakat ini, Gary Brunt dari Britain ialah bintang paling bersinar dalam sukan tersebut selepas menjuarai tiga musim berturut-turut iaitu pada 2010,2011 dan 2012 dengan mengutip mata keseluruhan sebanyak 860.
Pesaing terdekatnya, bekas juara pada siri pertama, Orlando Duque dari Colombia pula mengutip 840 mata selepas bergelar naib juara pada musim lalu.
Tahun ini yang juga tahun kelima kejohanan dijangka dimeriahkan lagi apabila penganjur dilaporkan bersetuju untuk memasukkan kategori penerjun wanita.
0 comments:
Post a Comment