Pandelela nobat wanita Malaysia di persada dunia
Pandalela Rinong |
Pada tanggal 10 Ogos, populariti ratu terjun negara, Pandelela Rinong mencapai kemuncaknya sejurus dia mencipta sejarah merangkul pingat gangsa dalam acara 10 meter platform pada Sukan Olimpik London.
Selepas gagal dalam dua acara seirama terdahulu, Pandelela turun beraksi dalam keadaan cukup tertekan mengetahui sandaran yang diletakkan ke atas bahunya cukup berat.
Tidak hairan mengapa cubaan pertamanya mendarat hambar menyebabkan dia jauh ketinggalan pada awal saingan.
Meskipun bangkit dengan kutipan mata memberangsangkan pada cubaan berikut, segala-galanya disangka sudah lenyap sebaik dia menghabiskan pusingan ketiga.
Namun, Pandelela tetap enggan menyerah kalah dan cuba untuk melaksanakan rutin sebaik mungkin pada dua terjunan terakhirnya sambil mengharapkan kejatuhan prestasi pesaing-pesaing lain.
Doa Pandelela termakbul, terjunan terakhirnya berjaya melonjakkannya ke kedudukan podium, sementara satu demi satu pencabar terdekatnya tercicir kecuali Britanny Broben dari Australia yang memintasnya untuk pingat perak.
Penyandang juara dunia, Chen Ruolin dari China langsung tidak tergugat, bagaikan bersaing keseorangan untuk muncul juara acara itu.
Selain berkesudahan dramatik, kejayaan itu menjadikan gadis Bidayuh itu atlet wanita pertama Malaysia melakar pencapaian seumpama di pentas sukan terbesar dunia itu, di samping juga satu-satu sukannya yang menjadi penyumbang pingat selepas badminton.
Secara keseluruhannya, Pandelela boleh dikatakan menikmati musim yang serba lengkap kerana berjaya juga meraih beberapa butir pingat di saingan elit Siri Dunia yang menampilkan hanya kelompok lapan penerjun dan pasangan seirama terbaik dunia.
Walaupun dicalarkan dengan beberapa keputusan hambar, itu adalah kerana Pandelela dibebani dengan terlalu banyak komitmen dalam persiapan ke Olimpik yang mana dia perlu beraksi tiga acara termasuk 3m papan anjal seirama selepas dia layak bersama Cheong Jun Hoong di luar dugaan ketika Piala Dunia London.
Tambahan pula, Pandelela juga bergelut dengan kecederaan belakangnya. Dengan menjadikan prestasi 2012 sebagai ukuran, jangkaan peminat-peminat sukan tanah air terhadap anak kedua daripada empat beradik itu pastinya lebih tinggi kelak.
0 comments:
Post a Comment